Monday, July 02, 2007

Waria makan durian di jalanan Tanjungpinang

Hampir mencecah setahun, apabila kali terakhir aku ke Tanjungpinang. Pada 26 Jun 2007 yang lalu rombongan kami tiba di Tanjungpinang membawa misi membantu operasi bibir sumbing kanak-kanak kurang kemampuan di Provinsi Kepulauan Riau.

Operasi berjalan 24 jam, kami pergi ke rumah sakit pada waktu pagi dan pulang jauh tengah malam. Dalam perjalanan pulang menaiki kenderaan Kijang itulah, kami terserempak dengan sekumpulan waria, wanita tidak pria pun tidak, sedang makan durian di tepi jalan. Pelik juga mana datangnya durian di Tanjungpinang ini. Pulau tersebut bukanlah besar sangat untuk menampung kebun durian. Tanya punya tanya, akhirnya pecahlah berita bahawa durian itu sebenarnya diimport dari Thailand. Dari Siam jugak...Malaysia bila lagi nak eksport secara besar-besaran buah-buahannya ?

Tuesday, August 08, 2006

Mengintai Tanjungpinang, 2-5 Ogos 2006

The Zon, Kompleks Bebas Cukai, JB
Dari Kelantan, untuk ke selatan Semenanjung, perlu naik 2 kapalterbang MAS. Flight AirAsia yang terus ke JB, dihentikan sementara waktu. Apa sebabnya, tidak diketahui pula. Dengan tambang teksi sebanyak RM40.00, kami serombongan tiba di The Zon Regency Hotel yang dulunya dikenali sebagai The Eden Garden Hotel. The Zon dibangunkan dalam Kompleks Bebas Cukai, Stulang Laut. Di situ juga terdapat Jeti Antarabangsa untuk ke Batam dan Tanjungpinang, destinasi pelancongan dan perniagaan. Bagi pihak kami, objektif agak berbeza, kerana kami membawa misi kesihatan.

Pagi esoknya, kami bergegas ke Jeti untuk mendapatkan feri awal namun keberangkatan pertama dibatalkan kerana tidak cukup penumpang. Maka kami semua telah dijadualkan untuk bertolak pada pukul 10.30 pagi. Feri kami agak sederhana besarnya dan bergerak dalam kelajuan juga sederhana, mungkin kerana pemandunya membaca ombak pagi itu akan beralun kasar. Kami menyusuri Singapura, melepasi Pulau Batam dan akhirnya sampai ke Pulau Bintan selepas 2 setengah jam perjalanan.

Jeti Sri Bintan Pura, pintu masuk ke Tanjungpinang
Pulau Bintan, denga ibukotanya Tanjungpinang adalah sangat relevan dalam sejarah Malaysia, kerana di sinilah pewaris Kesultanan Melaka akhirnya mendirikan kerajaan, setelah peristiwa serangan Portugis pada tahun 1511.

Di jeti, kami disambut oleh selawat ke atas Rasul dan paluan kompang oleh barisan wanita veteran Tanjungpinang. Tidak pasti pula berapa bayaran persembahan mereka pada tengahari itu? Ternyata mereka benar-benar gembira menyambut kami.

Kami langsung dibawa ke hotel untuk menikmati makan tengahari, kerana petangnya nanti kami akan segera ke Kantor Gubernur untuk taklimat mengenai misi kesihatan kami.

Semalaman di Muka Head Research Station, 13-14 Julai 2006


Dalam perjalanan, action di sebelah awek
Kepada mereka yang melawat Penang dan meminati pula adventur dan jungle trekking, harus pergi ke Penang National Park, Teluk Bahang. Dari situ, anda semua boleh memilih samada untuk menaiki bot atau trekking ke Muka Head Research Station.

Rombongan kami seramai 40 orang telah memilih untuk trekking saja agar tidak melepas peluang menikmati pemandangan hijau malar sisa hutan yang masih ada di Pulau Pinang. Sesekali terserempak dengan beberapa ekor kera yang mencuri perhatian kami dengan aksi dan gelagat mereka yang mencuit hati.

Berjalan berkumpulan sedemikian tidak memenatkan, kalau ada sekalipun, usik gurau sesama rakan-rakan bisa saja memadamkan lenguh kesah yang ada.

Seperti lazimnya dalam trekking, pengunjung perlu berhati-hati semasa memijak. Pihak bertanggungjawab telah memasang tangga baru dan ini lebih memudahkan. Namun, mungkin kerana sengaja atau tidak cukup bajet, sesetengah denai dibiarkan seadanya secara alami. Ini mengudang bahaya, jika pengunjung tidak berhati-hati semasa memijak tanah licin dan lumut hijau.


Bergambar di Pintu Masuk
Perjalanan selama setengah jam, akhirnya membawa kami ke pantai Muka Head Research Station. Tersergam indah di Teluk Aling, stesen penyelidikan ini menempatkan makmal-makmal kajian marin USM. Projek utama di sini ialah Projek Pemuliharaan Tiram (Oyster) dan Kepah Gergasi (Giant Clam). Tiram istimewa yang dipelihara di sini ialah Tiram DiRaja Siraj (The Royal Siraj Oyster); bersempena dengan nama Yang Dipertuan Agong XII, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Tiram DiRaja Siraj (Crassostrea iredalei) merupakan usaha Stesen Muka Head, USM selepas bertungkus-lumus selama 12 tahun dalam penyelidikan. Spesies ini hanya mengambil masa setahun hingga 18 bulan untuk membiak berbanding dengan tiram-tiram lain dari Jepun, US dan Canada yang mengambil masa selama 2-4 tahun.


Lawatan ke Muzium Marin, Prof Zulfigar memberi penerangan
Petangnya, sebahagian daripada kami berpeluang mengelilingi pantai di sekitar Muka Head bersama-sama ketua stesen tersebut iaitu, Prof. Zulfigar Yasin. Beliau adalah profesor dalam bidang sains marin, coral dan kepelbagaian marin serta terlibat secara langsung dalam semua penyelidikan di Muka Head. Prof. Zulfigar juga pernah mengetuai pasukan penyelidik dari USM ke Benua Antartika, untuk menjalankan penyelidikan sains marin selama 3 bulan dalam tahun 2002/2003.

Malamnya, kami BBQ, enak juga makan nasi goreng sama ikan bakar, di tepi pantai ditiup angin bayu. Sepoi-sepoi bahasa saja tiupan angin, yang kemudiannya bertukar ribut seketika, tanda hari nak hujan. Ada petanda Maha Pencipta, manusia jangan leka cuma. Semalaman kami di Muka Head, tidur lena indah mimpinya.

Tuesday, July 04, 2006

Berkunjung ke Peringgit, 3 Julai 2006















Masjid Peringgit tersergam indah
Saksi sejarah hebat berubah
Dalam diam menerbitkan barkah
Kepada mereka yang kusyuk menyembah
Moga terus berdiri gagah
Menjadi pusat penyebaran dakwah
Di Melaka Bandaraya Bersejarah

Peringgit, 3 Julai 2006

Monday, July 03, 2006

Bertemu Dato' Idris Hj. Haron - MP Tangga Batu, 2 Julai 2006















Aku ke Melaka tempohari, bersama bos utk membincangkan satu projek bakti sosial di Kepulauan Riau.

Kali ini kami bercadang untuk pergi di bawah payung Dunia Melayu Dunia Islam, iaitu satu gagasan murni daripada CM Melaka, Datuk Ali Rustam.

Dalam kesempatan itu, pertama kalinya dapat makan ikan bakar gaya Melaka bersama Dato' Idris Haron, MP Tangga Batu. Orangnya mudah didekati, peramah dan terbuka.

Kami berbincang hingga jauh malam sambil berlatarbelakangkan perlawanan World Cup yang menyaksikan Brazil kalah kepada Perancis. Kalah juga Brazil. Adios, Ronaldo.

Di samping A'Famosa, 2 Julai 2006


Mana gagahnya A'Famosa
Dibantai Belanda, roboh jua
Mana tingginya darjat dan kuasa
Diragut Izrail, ke tanah jua

Melaka, 2 Julai 2006

Sunday, June 04, 2006

Fajar bakti di Pekanbaru, 4-8 Jun 2006

Ini kali ketiga aku ke Pekanbaru selepas trip pertama dan kedua, masing-masing pada 1998 dan 2004 yang lalu. Seperti trip 2004, sekali lagi kami membawa sinar harapan untuk lebih 100 orang penderita bibir sumbing dan lelangit yang datang dari ceruk rantau Indonesia, berhimpun di Pekanbaru untuk mendapatkan rawatan.
2 hari berturut-turut kami sepasukan bertungkus lumus membedah dan merawat pasien-pasien itu, bermula 9 pagi hingga dinihari santak hingga pukul 2 pagi. Tim perubatan diketuai oleh Prof. Ab. Rani Samsudin dan lain doktor perubatan kraniofasial USM bertungkus lumus merawat 36 orang pasien. Benar, 100 yang datang, namun kerana kesuntukan masa dan bahan perubatan kami cuma mampu melayani sejumlah pasien itu sahaja.

Fajar bakti di Pekanbaru
Ibu muda, anaknya digengdong
Bibir sang anak merekah sumbing
Tertonjol gigi, dua puntung
Bisakah anak menghisap puting?

"Tolonglah bapak, ku hampir miring"
"Mengenangkan anak, ku jadi bingung"
"Segeralah bapak, anakku diiring"
"Ke dewan bedah sanggup kudukung"

Sabarlah saja, wahai si ibu
Anak ini harus diperiksa dahulu
Maklumat kesihatan amat perlu
Kerja sebegini tidak boleh melulu

Benar dan sahih, anak ni sihat
Kita sanggup dan berani merawat
Nama didaftar sebagai maklumat
Esok boleh jumpa perawat
Rumah Sakit Eria Bunda, namanya tempat

Si ibu gembira bukan kepalang
Seluruh keluarga senyum menumpang
Anak kecil sudah dibilang
Bakal punya senyum yang gemilang

Dewan bedah mendingin kaku
Sang anak masuk berbaju baru
Asalnya bising, menangis tak mahu
Dibius sang dokter, diam membisu

Bedahlah sang dokter semahumu
Siapalah aku, cuma menyerah
Bikin ya, senyuman baru untukku
Agar nasib hidupku juga berubah

Selamat sudah, anak dah bangkit
Masih menjerit karena sakit
Tidak mengapa cuma sedikit
Yang penting nanti, senyummu kan meleret

Tinggallah dulu, Pekanbaru
Tidak pasti, kapan pula akan ke mari
Fajar bakti di Pekanbaru
Membawa sinar di seluruh provinsi

Wednesday, August 03, 2005

Catatan Kembara: Adelaide, 31 July 2005

Aku berpeluang ke Adelaide, untuk satu tugas rasmi. Perjalanan daripada KLIA ke Adelaide Airport mengambil masa selama 7 jam. Bosan juga, nasib baik ada tayangan filem.
Urusan rasmi cuma 2 hari sahaja dan ada baki 3 hari utk aktiviti bebas. Dapat melawat National Park (dapat pegang koala), Rundle Mall.
Satu yang menarik di Adelaide, adalah wujudnya pasar lambak (Sunday market) di mana segala benda dijual. Koleksi antik, album lama, piring hitam, CD, gunting rambut (AUD 10 sekali potong), setem dan paling menarik sekali...buku terpakai.
Hari terakhir di Adelaide, rakan Malaysia di sana telah membawa aku ke Fisherman's Wharf Market (pasar yg dimaksudkan). Pasar ini paling baik dikunjungi pada hari Ahad. Katanya, pasar ni bagus untuk beli souvenir untuk dibawa pulang. Memang benar katanya itu. Di sana sini memang banyak barang murah. Pun begitu, murah dalam nilai AUD dan bukannya MYR. Waktu tu, tukaran wang asing ialah 1 AUD bersamaan 2.902 MYR.
Tak dapat nak beli banyak buku, lantaran duit AUD yang dibawa pun dah tak banyak. Di sini juga adalah acara untuk habiskan syiling AUD kerana nak bawa balik pun, money changer tak nak terima. Antara buku yang dibeli ialah karangan Dan Brown, The Da Vinci Code, softcover (AUD 8 atau RM 23). Tak tahulah, kalau di Malaysia boleh dapat lagi murah, tapi aku beli ni untuk souvenir sempena pergi ke Adelaide.
Satu lagi perkara menarik mengenai Australia ialah buku seperti Da Vinci Code ini dicetak di Australia sendiri. Dengan itu harganya lebih murah untuk dibeli di pasaran tempatan. Harga di kedai bagi buku ini ialah AUD 19.95. Mungkin satu hari nanti, Malaysia boleh mengikuti jejak langkah yang sama.