Tuesday, August 08, 2006

Semalaman di Muka Head Research Station, 13-14 Julai 2006


Dalam perjalanan, action di sebelah awek
Kepada mereka yang melawat Penang dan meminati pula adventur dan jungle trekking, harus pergi ke Penang National Park, Teluk Bahang. Dari situ, anda semua boleh memilih samada untuk menaiki bot atau trekking ke Muka Head Research Station.

Rombongan kami seramai 40 orang telah memilih untuk trekking saja agar tidak melepas peluang menikmati pemandangan hijau malar sisa hutan yang masih ada di Pulau Pinang. Sesekali terserempak dengan beberapa ekor kera yang mencuri perhatian kami dengan aksi dan gelagat mereka yang mencuit hati.

Berjalan berkumpulan sedemikian tidak memenatkan, kalau ada sekalipun, usik gurau sesama rakan-rakan bisa saja memadamkan lenguh kesah yang ada.

Seperti lazimnya dalam trekking, pengunjung perlu berhati-hati semasa memijak. Pihak bertanggungjawab telah memasang tangga baru dan ini lebih memudahkan. Namun, mungkin kerana sengaja atau tidak cukup bajet, sesetengah denai dibiarkan seadanya secara alami. Ini mengudang bahaya, jika pengunjung tidak berhati-hati semasa memijak tanah licin dan lumut hijau.


Bergambar di Pintu Masuk
Perjalanan selama setengah jam, akhirnya membawa kami ke pantai Muka Head Research Station. Tersergam indah di Teluk Aling, stesen penyelidikan ini menempatkan makmal-makmal kajian marin USM. Projek utama di sini ialah Projek Pemuliharaan Tiram (Oyster) dan Kepah Gergasi (Giant Clam). Tiram istimewa yang dipelihara di sini ialah Tiram DiRaja Siraj (The Royal Siraj Oyster); bersempena dengan nama Yang Dipertuan Agong XII, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Tiram DiRaja Siraj (Crassostrea iredalei) merupakan usaha Stesen Muka Head, USM selepas bertungkus-lumus selama 12 tahun dalam penyelidikan. Spesies ini hanya mengambil masa setahun hingga 18 bulan untuk membiak berbanding dengan tiram-tiram lain dari Jepun, US dan Canada yang mengambil masa selama 2-4 tahun.


Lawatan ke Muzium Marin, Prof Zulfigar memberi penerangan
Petangnya, sebahagian daripada kami berpeluang mengelilingi pantai di sekitar Muka Head bersama-sama ketua stesen tersebut iaitu, Prof. Zulfigar Yasin. Beliau adalah profesor dalam bidang sains marin, coral dan kepelbagaian marin serta terlibat secara langsung dalam semua penyelidikan di Muka Head. Prof. Zulfigar juga pernah mengetuai pasukan penyelidik dari USM ke Benua Antartika, untuk menjalankan penyelidikan sains marin selama 3 bulan dalam tahun 2002/2003.

Malamnya, kami BBQ, enak juga makan nasi goreng sama ikan bakar, di tepi pantai ditiup angin bayu. Sepoi-sepoi bahasa saja tiupan angin, yang kemudiannya bertukar ribut seketika, tanda hari nak hujan. Ada petanda Maha Pencipta, manusia jangan leka cuma. Semalaman kami di Muka Head, tidur lena indah mimpinya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home